(Dari kaca mata seorang bukan warga Singapura)
Saya dikatakan sedang mengetuai sebuah organisasi kemanusiaan Malaysia, nun jauh di negara Arab sana. Kami mengambil peduli tentang kesengsaraan yang dihadapi hasil daripada persengketaan sesama manusia. Rencana ini tidak bermaksud untuk menceritakan punca persengketaan, tetapi berharap persengketaan itu tidak akan berlaku dimana-mana pada masa akan datang.
Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya mencelah dan kelihatan mengambil berat dalam arus perdana yang berlaku di Asia Tenggara, sedangkan organisasi Aqsa Syarif sepatutnya menumpukan perhatian di Palestin sahaja?
Tentunya pengalaman di Asia Barat sangat bermanfaat untuk pembaca sekalian. Lagi jauh saya berjalan, lagi banyak cerita manfaat yang boleh dikongsikan. Pengalaman dalam kapal Mavi Marmara pada akhir Mei dan awal Jun 2010 tidak mungkin dirahsiakan. Saya dan teman diikat dan dipijak, semata-mata untuk menghantar makanan, ubat dan alat perubatan, buku dan bahan pendidikan, besi, batu dan simen buat bahan binaan ke Gaza.
Di dalam kapal Mavi Marmara, sebelum diserang, tangan saya sempat menyuap makanan dan minuman ke bibir seorang paderi tua bermazhab ortodoks yang berpakaian serba hitam. Saya sempat memimpin tangannya dengan erat untuk menemani ke tandas kapal yang serba kekurangan itu.
Ketika ditanya oleh anak saya, apakah pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan di atas kapal itu. Saya mengalihkan jawapan kepada kenangan manis yang tidak boleh saya lupakan - kemanisan seorang ustaz beragama Islam seperti saya, yang melebihi pertengahan 40-an, melayan seorang paderi Kristian yang menjangkau awal 80-an.
Kami berbeza akidah dan agama, berbeza usia, pakaian dan cara berfikir. Tetapi kami mampu bersepakat menyabung nyawa untuk membantu sekelompok manusia yang terkurung di sebuah bandar kecil bernama Gaza, Palestin. Isu kemanusiaan menyatukan kami.
Sebab itu saya terkejut dengan ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. Beliau telah memurnikan suasana. Beliau telah membuktikan kepada saya, walau di atas lembaran Berita Harian Singapura, bahawa di lubuk hatinya, beliau yakin bahawa dunia ini boleh dihuni dengan aman dan kasih sayang, oleh manusia pelbagai agama, bangsa dan bahasa.
Saya tiada apa-apa kepentingan dengan beliau. Saya berbangga sebagai rakyat Malaysia. Saya boleh memiliki rumah sendiri, kenderaan sendiri dan bekerja sendiri di Malaysia. Semuanya cukup untuk saya hidup sementara di dunia ini. Tetapi beliau mengejutkan saya dengan kenyataannya:
“Muslim community in Singapore has made great efforts to integrate with other communities and help make Singapore one of the most harmonious and successful multi-religious societies in the world…
Muslims are a valued and respected community, who have done a good deal to strengthen our harmony and social cohesion.”
Ia bertepatan dengan ajaran Islam yang saya yakini dan yang saya ajarkan, malah yang saya sebarkan. Sama ada ketika Muslim itu golongan minoriti atau majoriti, Nabi Mohammad sentiasa mengajak kepada suasana harmoni yang bukan retorik. Perkongsian hidup sesama manusia, ketika menjalani kehidupan adalah salah satu ciri khusus syariat Islam.
Satu contoh, ketika Khalifah keempat Islam, Saidina Ali, dicuri pakaian besinya oleh seorang pencuri bukan Islam. Beliau cukup kenal dengan pakaiannya itu, lalu beliau pun menangkap pencuri yang sedang memiliki pakaiannya itu. Soalan mudah lelaki itu, “Apa bukti ini pakaian kamu?” Saidina Ali meminta seorang pegawainya untuk menjadi hakim buat membicarakan kesnya.
Apabila dibicarakan, Saidina Ali kalah dan gagal membuktikannya, lalu pegawai itu mengarahkan dibebaskan lelaki itu dan dipulangkan pakaian itu kepadanya. Lelaki itu sambil berjalan meninggalkan majlis, terungkap secara automatik dari bibirnya: “Pemerintah orang beriman (khalifah) dicuri pakaiannya, lalu melantik pegawainya sendiri untuk menghakimi dirinya sendiri, dan dihukum oleh pegawainya sendiri, sedang akulah si pencuri itu.”
Kalau begitulah pemerintah dan penguasa Islam melayan bukan Islam, ketika mereka majoriti dan memerintah di sesuatu tempat, sudah tentu ketika masyarakat Islam yang menjadi minoriti seperti di Singapura, mereka akan lebih-lebih lagi menjaga hubungan dengan bukan Islam, sekiranya mereka melaksanakan kehidupan Islam ‘sepenuhnya’.
Saya sering berceramah di Singapura, saya berpeluang menyaksikan satu kesedaran luar biasa masyarakat Islam Singapura. Lihatlah ketika mereka mengurus masjid. Kalau kita meninjau beberapa masjid di luar Singapura, saya boleh buktikan ratusan masjid yang gagal diurus dengan baik. Saya rasa tiada masjid di Singapura, yang tandasnya tanpa sabun pencuci tangan. Tiada masjid di Singapura yang tiada jadual mencuci tandas.
Masih ada masjid di luar Singapura, yang kalau anda ke tandasnya, saya akan ‘bertaubat’ tidak mahu masuk lagi ke tandas itu. Kebersihan yang dicipta oleh pemerintah Singapura, terkesan kepada pengurusan dakwah dan masjid, oleh masyarakat Islam Singapura. Masyarakat Islam Singapura mempelajarinya.
Islam bahkan mengajar kebersihan jauh lebih mendalam dan jauh lebih teliti daripada mana-mana ajaran agama yang saya fahami. Ia memperkenalkan apa itu najis, bagaimana mengesaninya dan bagaimana mencucinya.
Masjid di Singapura dikongsikan beberapa aktiviti dengan masyarakat setempat. Saya tidak menghendap, tetapi perasaan ingin tahu saya sangat tinggi, apabila saya mendapati wanita-wanita Cina bersenam aerobik bersama Muslimat di perkarangan masjid. Orang-orang lelaki dilarang sementara berada di kawasan tersebut, demi memberi kebebasan sepenuhnya mereka sesama mereka melenggokkan tubuh.
Dalam mendidik masyarakat Islam Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah bertungkus-lumus melihat masa hadapan umat Islamnya. Akhirnya terbitlah “Risalah Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura”.
Segala ilmu Islam tersirat di sebalik 10 ciri yang sepatutnya ada pada seorang Muslim di Singapura. Saya berasa malu kerana tidak banyak negara masyarakat Islam yang punya kejelasan cita-cita yang terfokus seperti itu. Mereka sibuk dengan ciri-ciri umum Islam, yang akhirnya hilang dalam kesibukan urusan mereka sendiri. Tetapi tidak bagi masyarakat Islam di Singapura yang sedang membangun bersama pemerintahnya.
Lihatlah kesungguhan mereka, apabila mereka mengfokuskan kelahiran masyarakat Islam Singapura yang:
Hal ini dan keharmoniannya dapat dikesan dan dihargai oleh pemerintah khususnya Lee Hsien Loong. Siapa yang tidak mahu hidup berakyatkan manusia yang berciri di atas. Saya percaya pemerintah yang bijak sahaja yang akan menyambut cita-cita murni rakyatnya. Ia ada di bumi Singapura.
Sebab itu semangat kemanusiaan yang saya bawa dari bumi Gaza, Palestin, perlu dikongsikan di Asia Tenggara. Kami yang telah menjejakkan kaki di sana, gagal memahami kenapa masih ada manusia membunuh sesama manusia, membiarkan kanak-kanak melarat, memusnahkankan bagunan sekolah atau universiti, sanggup menyemburkan dari udara bahan kimia fosforus.
Saya sendiri kini, tidak tergamak menyembur racun ke lalat, kalau ada lalat di rumah saya. Saya memilih untuk megemas dan membersihkan rumah saya, agar lalat dan fenomenanya tidak datang ke rumah saya.
Perdana Menteri Singapura sangat bijak, apabila berhati-hati mengurus fenomena persengkataan kaum dan agama, apabila beliau memilih untuk berbeza pendapat secara terbuka daripada ayahandanya sendiri, yang masih hidup dan masih punya pengaruh.
Barangkali Menteri Kanan Singapura itu, iaitu Lee Kuan Yew, masih terbawa-bawa salah fahamnya terhadap Islam yang terukir di mindanya sejak tahun-tahun kegelapan Islam itu sendiri. Kini umat Islam telah berubah dan memahami ajaran Islam mereka lebih baik selepas tersebarnya guru-guru yang bangkit menjelaskannya.
Penulisan Imam Hasan al-Banna banyak mengajar saya, bahawa Islam itu agama yang sangat bertoleransi dan sangat mengambil kira faktor sekeliling yang mesti diadaptasi dengan ilmu wahyu dan sunah Nabinya.
MUIS sedang mengepalai satu contoh luar biasa, kesedaran umat Islam, zaman ini. Saya kagum dengan kehebatan mereka di sana, walau saya tetap bersyukur menjadi warga Malaysia.
Saya tidak malu untuk mengagumi kesedaran matang yang dimiliki oleh Perdana Menteri Singapura itu dalam hal tersebut. Tahniah warga Muslim Singapura. Tahniah apabila anda berusaha mengkotakan ciri ketujuh dan kelapan daripada ciri-ciri masyarakat Islam cemerlang Singapura:
(Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus adalah Pengerusi Aqsa Syarif Berhad. Pernah belajar di Mesir, Makkah dan Jordan. Memiliki Master dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling UTM Skudai dan pernah menjadi pensyarah selama 5 tahun di universiti itu. Juga merupakan salah seorang sukarelawan ‘Lifeline4Gaza’ iaitu misi kemanusiaan ke Gaza di atas kapal ‘Mavi Marmara’ yang diserang tentera Israel pada Mei 2010. Berpengalaman 10 tahun dalam dunia perundingan pengurusan dan kini bertugas sepenuh masa dalam isu-isu kemanusiaan Palestin.)
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/pandangan/598
No comments:
Post a Comment