Tuesday 14 August 2012

Penjelasan Lee Hsien Loong: Integrasi Muslim Singapura



                                                                  (Dari kaca mata seorang bukan warga Singapura)


Penjelasan Lee Hsien Loong : Integrasi Muslim Singapura

Saya dikatakan sedang mengetuai sebuah organisasi kemanusiaan Malaysia, nun jauh di negara Arab sana. Kami mengambil peduli tentang kesengsaraan yang dihadapi hasil daripada persengketaan sesama manusia. Rencana ini tidak bermaksud untuk menceritakan punca persengketaan, tetapi berharap persengketaan itu tidak akan berlaku dimana-mana pada masa akan datang.
Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya mencelah dan kelihatan mengambil berat dalam arus perdana yang berlaku di Asia Tenggara, sedangkan organisasi Aqsa Syarif sepatutnya menumpukan perhatian di Palestin sahaja?
Tentunya pengalaman di Asia Barat sangat bermanfaat untuk pembaca sekalian. Lagi jauh saya berjalan, lagi banyak cerita manfaat yang boleh dikongsikan. Pengalaman dalam kapal Mavi Marmara pada akhir Mei dan awal Jun 2010 tidak mungkin dirahsiakan. Saya dan teman diikat dan dipijak, semata-mata untuk menghantar makanan, ubat dan alat perubatan, buku dan bahan pendidikan, besi, batu dan simen buat bahan binaan ke Gaza.
Di dalam kapal Mavi Marmara, sebelum diserang, tangan saya sempat menyuap makanan dan minuman ke bibir seorang paderi tua bermazhab ortodoks yang berpakaian serba hitam. Saya sempat memimpin tangannya dengan erat untuk menemani ke tandas kapal yang serba kekurangan itu.
Ketika ditanya oleh anak saya, apakah pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan di atas kapal itu. Saya mengalihkan jawapan kepada kenangan manis yang tidak boleh saya lupakan - kemanisan seorang ustaz beragama Islam seperti saya, yang melebihi pertengahan 40-an, melayan seorang paderi Kristian yang menjangkau awal 80-an.
Kami berbeza akidah dan agama, berbeza usia, pakaian dan cara berfikir. Tetapi kami mampu bersepakat menyabung nyawa untuk membantu sekelompok manusia yang terkurung di sebuah bandar kecil bernama Gaza, Palestin. Isu kemanusiaan menyatukan kami.
Sebab itu saya terkejut dengan ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. Beliau telah memurnikan suasana. Beliau telah membuktikan kepada saya, walau di atas lembaran Berita Harian Singapura, bahawa di lubuk hatinya, beliau yakin bahawa dunia ini boleh dihuni dengan aman dan kasih sayang, oleh manusia pelbagai agama, bangsa dan bahasa.
Saya tiada apa-apa kepentingan dengan beliau. Saya berbangga sebagai rakyat Malaysia. Saya boleh memiliki rumah sendiri, kenderaan sendiri dan bekerja sendiri di Malaysia. Semuanya cukup untuk saya hidup sementara di dunia ini. Tetapi beliau mengejutkan saya dengan kenyataannya:
“Muslim community in Singapore has made great efforts to integrate with other communities and help make Singapore one of the most harmonious and successful multi-religious societies in the world…
Muslims are a valued and respected community, who have done a good deal to strengthen our harmony and social cohesion.”
Ia bertepatan dengan ajaran Islam yang saya yakini dan yang saya ajarkan, malah yang saya sebarkan. Sama ada ketika Muslim itu golongan minoriti atau majoriti, Nabi Mohammad sentiasa mengajak kepada suasana harmoni yang bukan retorik. Perkongsian hidup sesama manusia, ketika menjalani kehidupan adalah salah satu ciri khusus syariat Islam.
Satu contoh, ketika Khalifah keempat Islam, Saidina Ali, dicuri pakaian besinya oleh seorang pencuri bukan Islam. Beliau cukup kenal dengan pakaiannya itu, lalu beliau pun menangkap pencuri yang sedang memiliki pakaiannya itu. Soalan mudah lelaki itu, “Apa bukti ini pakaian kamu?” Saidina Ali meminta seorang pegawainya untuk menjadi hakim buat membicarakan kesnya.
Apabila dibicarakan, Saidina Ali kalah dan gagal membuktikannya, lalu pegawai itu mengarahkan dibebaskan lelaki itu dan dipulangkan pakaian itu kepadanya. Lelaki itu sambil berjalan meninggalkan majlis, terungkap secara automatik dari bibirnya: “Pemerintah orang beriman (khalifah) dicuri pakaiannya, lalu melantik pegawainya sendiri untuk menghakimi dirinya sendiri, dan dihukum oleh pegawainya sendiri, sedang akulah si pencuri itu.”
Kalau begitulah pemerintah dan penguasa Islam melayan bukan Islam, ketika mereka majoriti dan memerintah di sesuatu tempat, sudah tentu ketika masyarakat Islam yang menjadi minoriti seperti di Singapura, mereka akan lebih-lebih lagi menjaga hubungan dengan bukan Islam, sekiranya mereka melaksanakan kehidupan Islam ‘sepenuhnya’.
Saya sering berceramah di Singapura, saya berpeluang menyaksikan satu kesedaran luar biasa masyarakat Islam Singapura. Lihatlah ketika mereka mengurus masjid. Kalau kita meninjau beberapa masjid di luar Singapura, saya boleh buktikan ratusan masjid yang gagal diurus dengan baik. Saya rasa tiada masjid di Singapura, yang tandasnya tanpa sabun pencuci tangan. Tiada masjid di Singapura yang tiada jadual mencuci tandas.
Masih ada masjid di luar Singapura, yang kalau anda ke tandasnya, saya akan ‘bertaubat’ tidak mahu masuk lagi ke tandas itu. Kebersihan yang dicipta oleh pemerintah Singapura, terkesan kepada pengurusan dakwah dan masjid, oleh masyarakat Islam Singapura. Masyarakat Islam Singapura mempelajarinya.
Islam bahkan mengajar kebersihan jauh lebih mendalam dan jauh lebih teliti daripada mana-mana ajaran agama yang saya fahami. Ia memperkenalkan apa itu najis, bagaimana mengesaninya dan bagaimana mencucinya.
Masjid di Singapura dikongsikan beberapa aktiviti dengan masyarakat setempat. Saya tidak menghendap, tetapi perasaan ingin tahu saya sangat tinggi, apabila saya mendapati wanita-wanita Cina bersenam aerobik bersama Muslimat di perkarangan masjid. Orang-orang lelaki dilarang sementara berada di kawasan tersebut, demi memberi kebebasan sepenuhnya mereka sesama mereka melenggokkan tubuh.
Dalam mendidik masyarakat Islam Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah bertungkus-lumus melihat masa hadapan umat Islamnya. Akhirnya terbitlah “Risalah Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura”.
Segala ilmu Islam tersirat di sebalik 10 ciri yang sepatutnya ada pada seorang Muslim di Singapura. Saya berasa malu kerana tidak banyak negara masyarakat Islam yang punya kejelasan cita-cita yang terfokus seperti itu. Mereka sibuk dengan ciri-ciri umum Islam, yang akhirnya hilang dalam kesibukan urusan mereka sendiri. Tetapi tidak bagi masyarakat Islam di Singapura yang sedang membangun bersama pemerintahnya.
Lihatlah kesungguhan mereka, apabila mereka mengfokuskan kelahiran masyarakat Islam Singapura yang:
  • Berpegang teguh pada prinsip Islam dan dapat menyesuaikan diri dengan konteks yang berubah
  • Menghayati tamadun dan sejarah Islam dan berupaya memahami isu-isu semasa
  • Menghargai tamadun-tamadun lain, yakin diri untuk berinteraksi dan bersedia belajar daripada masyarakat lain
  • Mempunyai moral yang tinggi dan sifat kerohanian yang utuh, mampu mengatasi cabaran kehidupan masyarakat moden
  • Progresif, mengamalkan Islam lebih sekadar ritual/bentuk dan dapat menyesuaikan diri dengan arus permodenan
  • Dapat menyesuaikan diri sebagai golongan yang memberi sumbangan dalam masyarakat berbilang agama dan negara sekular
  • Tidak menyisihkan diri dan menerima kehidupan majmuk tanpa mengabaikan prinsip dan nilai
  • Percaya bahawa Muslim yang baik adalah rakyat yang baik
  • Membawa kesejahteraan kepada semua dan menggalakkan nilai dan prinsip sejagat
  • Menjadi contoh dan inspirasi kepada semua
Hal ini dan keharmoniannya dapat dikesan dan dihargai oleh pemerintah khususnya Lee Hsien Loong. Siapa yang tidak mahu hidup berakyatkan manusia yang berciri di atas. Saya percaya pemerintah yang bijak sahaja yang akan menyambut cita-cita murni rakyatnya. Ia ada di bumi Singapura.
Sebab itu semangat kemanusiaan yang saya bawa dari bumi Gaza, Palestin, perlu dikongsikan di Asia Tenggara. Kami yang telah menjejakkan kaki di sana, gagal memahami kenapa masih ada manusia membunuh sesama manusia, membiarkan kanak-kanak melarat, memusnahkankan bagunan sekolah atau universiti, sanggup menyemburkan dari udara bahan kimia fosforus.
Saya sendiri kini, tidak tergamak menyembur racun ke lalat, kalau ada lalat di rumah saya. Saya memilih untuk megemas dan membersihkan rumah saya, agar lalat dan fenomenanya tidak datang ke rumah saya.
Perdana Menteri Singapura sangat bijak, apabila berhati-hati mengurus fenomena persengkataan kaum dan agama, apabila beliau memilih untuk berbeza pendapat secara terbuka daripada ayahandanya sendiri, yang masih hidup dan masih punya pengaruh.
Barangkali Menteri Kanan Singapura itu, iaitu Lee Kuan Yew, masih terbawa-bawa salah fahamnya terhadap Islam yang terukir di mindanya sejak tahun-tahun kegelapan Islam itu sendiri. Kini umat Islam telah berubah dan memahami ajaran Islam mereka lebih baik selepas tersebarnya guru-guru yang bangkit menjelaskannya.
Penulisan Imam Hasan al-Banna banyak mengajar saya, bahawa Islam itu agama yang sangat bertoleransi dan sangat mengambil kira faktor sekeliling yang mesti diadaptasi dengan ilmu wahyu dan sunah Nabinya.
MUIS sedang mengepalai satu contoh luar biasa, kesedaran umat Islam, zaman ini. Saya kagum dengan kehebatan mereka di sana, walau saya tetap bersyukur menjadi warga Malaysia.
Saya tidak malu untuk mengagumi kesedaran matang yang dimiliki oleh Perdana Menteri Singapura itu dalam hal tersebut. Tahniah warga Muslim Singapura. Tahniah apabila anda berusaha mengkotakan ciri ketujuh dan kelapan daripada ciri-ciri masyarakat Islam cemerlang Singapura:
  • Tidak menyisihkan diri dan menerima kehidupan majmuk tanpa mengabaikan prinsip dan nilai; dan
  • Percaya bahawa Muslim yang baik adalah rakyat yang baik.
(Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus adalah Pengerusi Aqsa Syarif Berhad. Pernah belajar di Mesir, Makkah dan Jordan. Memiliki Master dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling UTM Skudai dan pernah menjadi pensyarah selama 5 tahun di universiti itu. Juga merupakan salah seorang sukarelawan ‘Lifeline4Gaza’ iaitu misi kemanusiaan ke Gaza di atas kapal ‘Mavi Marmara’ yang diserang tentera Israel pada Mei 2010. Berpengalaman 10 tahun dalam dunia perundingan pengurusan dan kini bertugas sepenuh masa dalam isu-isu kemanusiaan Palestin.)
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/pandangan/598

Ikram hargai usaha Selangor tangani isu pendidikan


IKRAM hargai usaha Selangor tangani isu pendidikan


SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta jabatan dan agensi-agensi di bawah mereka, dalam menangani dan mengurus pendidikan serta pembelajaran di negeri ini.

“Usaha baik dan kesediaan membaiki mutu perkhidmatan pelajaran dan pendidikan di peringkat Kebangsaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, kedua-dua Menteri Pelajaran dan Menteri Pengajian Tinggi serta jabatan dan agensi-agensi di bawah mereka sangat dihargai,” ujar Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Negeri Selangor Profesor Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus.
Beliau berkata, bagi Pertubuhan Ikram Selangor, perbahasan terhadap cadangan pendidikan tinggi percuma di Malaysia adalah amat menarik.
“Kajian dan penyelidikan teliti dan menyeluruh terhadapnya perlu disempurnakan oleh pihak berwajib untuk mencapai rumusan yang lebih menyakinkan dan perlu mengambil kira pandangan pakar-pakar bidang pendidikan, ekonomi, politik serta penggerak ratusan institusi dan NGO pendidikan berkaitan,” terangnya.
Pertubuhan Ikram Negeri Selangor ternyata agak terkejut dengan pengumuman awal Menteri Pengajian Tinggi untuk membekukan pinjaman pelajaran PTPTN kepada pelajar UNISEL yang mana sehari kemudiannya, pembekuan tersebut ditarik balik.
“Pengumuman-pengumuman seperti ini tidak menggambarkan amalan terbaik atau “best practice” yang membanggakan, kerana ia melibatkan kepentingan rakyat khususnya ibu bapa dan para pelajar serta tidak menggambarkan kematangan politik pemerintah,” demikian menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, katanya, cadangan melaksanakan pendidikan tinggi secara percuma pula tidaklah semudah seperti apa yang dicakapkan yang mana hakikatnya, kerajaan Selangor terpaksa membuat pinjaman lain untuk menampung kos pelajaran tinggi di UNISEL.
ustaz hasanuddin“Walaupun begitu, Ikram Selangor mengucapkan tahniah atas semangat yang tinggi untuk memastikan kelangsungan pendidikan tinggi, sama ada oleh Kerajaan Negeri Selangor yang mencari jalan alternatif atau menteri yang menarik balik keputusannya.”
Sehubungan itu, penghargaan yang sama harus diberi kepada pelbagai agensi kementerian seperti PTPTN yang membantu pelajar dengan pinjaman pelajaran bagi meringankan beban ibu bapa, sambil isu siapa patut membiayai pengajian tinggi terus didebatkan.
“Berdebat di televisyen demi mencari kaedah terbaik, adil dan menyeluruh bagi mencari penyelesaian kepada masalah rakyat adalah lebih baik daripada berbahas perihal skandal mana-mana ahli politik,” jelasnya
Hasanuddin berkata, Ikram Selangor melihat keputusan untuk membekukan pinjaman pelajaran kepada mahasiswa UNISEL baru-baru ini, dapat diambil  pengajaran.
“Keputusan tersebut amat kurang bijak kerana ia mencetuskan keresahan rakyat serta mencemarkan pendidikan dengan politik. Pendidikan tidak boleh dicemari kerana ia adalah masa depan anak-anak kita. Padanya mengandungi makna kehidupan.”
Ikram Selangor sebagai pertubuhan dakwah, kebajikan serta tarbiah ingin mengingatkan dengan kata-kata Saiyidina Umar al-Khattab radiallahuanhu:
Ajarkan anak-anakmu agar mereka dapat menjalani kehidupan pada zaman mereka.
“Pemimpin seperi Saiyidina Umar al-Khattab mahukan kita sentiasa mendidik anak-anak kita dengan penuh bertanggungjawab kerana anak-anak adalah amanah buat ibu bapa, penjaga, pemerintah dan bukan pemerintah manakala mendidik bukan sekadar untuk memberi sijil, kemahiran dan kerjaya tetapi pendidikan yang membawa mereka kepada kehidupan yang cemerlang pada zaman mereka,” jelasnya.
Hasanuddin turut mengingatkan, menjelang pilihana raya umum ke-13 ini, Ikram Selangor berharap agar sebarang perbezaan dalam memberi pandangan politik dapat dikawal dan diurus dengan baik dan matang.
“Semua ucapan dan tindakan pemimpin parti politik tidak boleh dilandaskan pada kebencian dan sentimen,” katanya.
Sebaliknya, beliau menyeru agar pemimpin membina masyarakat dengan menunjukkan contoh dan akhlak terbaik kepada generasi anak-anak sebagaimana pesanan Khalifah Umar tersebut, iaitu teladan yang menguntungkan masyarakat, agama dan negara.

Malaysia bumi subur untuk kebangkitan Islam

Malaysia bumi subur untuk kebangkitan Islam



Adakah kita semua berasa beruntung? Saya mulakan catatan saya ini dengan soalan yang sangat mudah. Tanpa soalan ini, kadang-kadang kita terlupa nikmat Allah subhanahu wataala yang sedang dikurniakan kepada kita.
Walaupun sentiasa mengikuti perkembangan dunia, isu semasa dan cabaran-cabaran terkini, penulis sendiri kadang-kadang terlupa untuk bertanya kepada diri sendiri soalan mudah ini.
Soalan mudah ini tercetus, apabila penulis berpeluang menjadi pengiring kepada dua tetamu agung Pertubuhan IKRAM Malaysia. Dua tetamu tersebut, tidak lain dan tidak bukan dua Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin.
Kedatangan Syeikh Dr Jumaah Amin dan Syeikh Dr Mahmud Izzat Ibrahim benar-benar memberi satu kesedaran baru. Sebenarnya generasi kita terpilih untuk menyaksikan satu kebangkitan besar yang disulami dengan kemanisan dan keindahan.
Setiap inci arus perubahan dunia dan perkembangannya sedang menuju dan menumpu kepada kegemilangan Islam. Kejatuhan rejim diktator di Tunisia, Mesir, Libya dan entah negara Arab mana selepas ini, adalah tanda aras yang sangat jelas.
Lebih 60 tahun lalu, al-Marhum asy-Syahid Imam Hasan al-Banna menyeru kepada satu dakwah yang sangat jelas, kini buahnya kelihatan seperti mula berhasil. Beliau mengajak kepada satu kefahaman terhadap Islam yang pada masa itu telah menjadi kabur dan sangat mengelirukan.
Perhatikan sahaja ketika beliau mula mencetak petugas-petugas dakwah mulia ini, beliau menulis sesuatu yang sangat tinggi nilainya dalam Risalah Ta’alim. Saya sendiri tersentak apabila mula membacanya tahun 1980. Ketika menerangkan rukun bai’ah pertamanya; al-fahmu:
“Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.”
Ketika manusia merasakan Islam sekadar satu agama peribadi dan terpencil peranannya, guru itu bangkit membawa pembaharuan. Memang ada yang mempertikaikan, tetapi akhirnya semua kembali bersatu untuk memahami ketepatannya dengan apa yang dibawa oleh baginda sallallahu alaihi wasallam.
Allah subhanahu wataala membuka hijab guru itu untuk memahami dan bangkit menerangkan kepada penduduk dunia tentang apa sebenarnya Islam.
Penjelasan fikrah yang dibawa guru mulia ini, tersebar luas ke seluruh pelusuk alam. Di Malaysia sendiri, kebanyakan gerakan Islam yang berlandaskan kepada ilmu menerima fakta ini. Gerakan-gerakan Islam sentiasa memetik kata-kata Imam al-Banna dan murid-muridnya dalam ceramah, usrah, tamrin dan perjuangan mereka.
Pegawai-pegawai kerajaan, pensyarah universiti, guru sekolah, ahli politik, pengacara TV dan NGO-NGO yang berlatar belakangkan Islam juga sentiasa bermain dengan istilah Islam itu syumul, adil, anjal dan pelbagai istilah haraki yang lain.

Soalan adakah kita semua berasa beruntung dengan suasana ini, hampir penulis terlupa. Pemahaman Tauhid Uluhiyah, Rububiyah dan Asma’ Wa Sifat menjelma dalam buku-buku teks di sekolah-sekolah. Mata pelajaran Tasawwur Islam sudah lama diperkenalkan. Di universiti kita diperkenalkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam.
Penulis terkejut apabila kedua-dua Naib Mursyid Ikhwan Muslimin itu mengulangi di beberapa tempat, dalam siri ceramah atau sidang media mereka, erti tamadun.
Katanya: “Aku melihat kesungguhan ramai umat Islam di Malaysia, menerima Islam yang syumul, selengkap akidahnya, akhlaknya, kerohaniannya, sistem ekonomi, sosial dan perundangannya sebagai Ad-Deen dan manhaj hidup mereka. Mereka berusaha untuk itu dengan bersungguh-sungguh. Menyebarkan fikrah mulia ini.”
Saya merasakan, itu satu penilaian yang sangat tepat dan menyangka kefahamannya terhenti di situ. Saya benar-benar terkejut walaupun itulah yang saya fahami selama ini, apabila Syeikh Dr Mahmud Izzat Ibrahim menyambung lagi, katanya:
“Apa yang mereka fahami dan terima sebagai Ad-Deen itu, mereka kongsikan dengan bukan Islam. Mereka berusaha agar kehebatan Islam dalam mengurus dan membawa konsep-konsep indah Islam dalam isu ekonomi, sosial, perundangan dijadikan tamadun yang diterima dan akan dikongsikan dengan bukan Islam.”
Tambah beliau lagi:
“Sebahagian ad-Deen yang orang Islam anuti, menjadi tamadun yang layak diterima pakai oleh bukan Islam. Malaysia subur dengan prinsip ini. Sangat berpotensi untuk itu.”
Rakyat Malaysia diharap dapat mengisi kekosongan kebangkitan ekonomi Timur yang dipelopori negara China dan bangsa Cina merata dunia dengan nilai Islam. Biarlah kebagkitan tamadun selepas ini terjulang bersama dengan Islam itu sendiri. Kita akan namakannya kebangkitan Islam, mereka akan menamakan tamadun yang dikongsikan.
Ketika itu, setelah kita sama-sama bekerja, nilai keadilan, kebebasan, kemanusiaan dan nilai Islam lainnya akan meresap dan mengiri tamadun baru ini, selepas dunia dicengkam dengan kezaliman diktator, penipuan ekonomi, kebejatan perundangan.
Usaha bersungguh-sungguh NGO-NGO di Malaysia khususnya Pertubuhan IKRAM Malaysia adalah antara bukti yang beliau saksikan katanya. Terbinanya Hospital Pakar An-Nur dan rangkaian sekolah Musleh adalah dua contoh besar.
Dalam tulisan lain Imam al-Banna yang bertajuk "Adakah Kita Orang Yang Bekerja?":
“Ramai dalam kalangan saudara kita yang merasakan jemaah yang aktif ialah jemaah yang melaksanakan program-program umum dan bermanfaat. Program-program yang memberikan kesan yang kekal dalam bentuk institusi-institusi yang berfaedah. Kita akan bincangkan perkara ini dan kita akan nilai pertubuhan Ikhwan Al-Muslimin menurut rencana ini. Namun dengan izin Allah kita juga akan bincangkan neraca lain yang kita gunakan untuk menilai jemaah kita. Kita gunakan neraca ini untuk menilai usaha-usaha yang praktikal. Dari aspek tamadun manusia, neraca yang kita gunakan ini sebenarnya lebih betul dan lebih tepat berbanding neraca yang diguna pakai hari ini. Namun Allah tetap menjanjikan ganjaran yang baik untuk setiap amalan.”
Saya percaya dengan kerjasama gerakan-gerakan Islam dan NGO-NGO yang ada, Pertubuhan IKRAM Malaysia mampu memastikan Islam dapat mengambil tempatnya yang terulung di samping memenangi hati bukan Islam. Kebangkitan naga ekonomi Timur seperti China tidak wajar dibiarkan kosong atau lebih buruk bakal memusuhi Islam.
Kita diharap menjadi ejen atau duta Islam yang akan membuktikan kepada mereka, Islam yang kita anuti adalah satu tamdun buat mereka.
Itulah maksud saya, kita semua kena bersyukur berada dalam zaman pendakian semula selepas Islam terhina dan dicampak ke gaung yang terendah. Kita bukan menyaksikan kebangkitannya melalui tulisan-tulisan, tetapi kita adalah sebahagian daripada pekerja kebangkitan ini.
Jihad dan kesungguhan kita dalam dakwah, tarbiah, ekonomi, pendidikan, sosial dan memperkukuh sistem perundangan adalah satu yang sangat penting.
Inilah sedikit harga yang akan kita bayar untuk membeli syurga Allah yang sangat mahal. Walau kita merasa tidak layak kerana harga yang Allah tetapkan itu terlalu murah, tapi rebutlah harga itu untuk kita mendapat pengampunan, dimasukkan ke syurga, tempat tinggal yang indah di syurga yang tertinggi termasuk pertolongan dan nusrah (bantuan) yang semakin dekat.
(Prof Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus adalah Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia.)
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/34-hasanuddin-mohd-yunus/1485-malaysia-bumi-subur-untuk-kebangkitan-islam

Malaysia semakin gagah di bawah panji-panji Islam



Malaysia semakin gagah di bawah panji-panji Islam


Agak lama penulis memendam rasa untuk menulis satu tajuk yang berkaitan perbezaan bangsa di Malaysia. Memang isu ini dilihat sensitif, namun bergantung bagaimana ia dipersembahkan dan bergantung pula bagaimana ia dibaca; penulis memberanikan diri.

Memang agak terperanjat apabila mendengar beberapa ahli akademik yang cuba menafikan bahawa Malaysia pernah dijajah. Laungan “Merdeka” yang dijeritkan oleh Almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abd Rahman Putra al-Haj, di kaca TV sejak kecil, terpahat di telinga penulis.
Almarhum ayahanda penulis yang sempat dengan almarhum Dato’ Onn Bin Jaafar dan sezaman dengan Panglima atau Kiyai Salleh Batu Pahat itu, membakar semangat penulis dari kecil, erti mengisi kemerdekaan.
Kehidupan bersama Jemaah Khaujakan, yang dipengerusikan oleh almarhum ayahanda dan bergurukan almarhum Ustaz Haji Othman Azhari, dan zikir ayat 4 yang diamalkan oleh Panglima Salleh, menanam semangat jihad kepada penulis.
Pada waktu yang sama, almarhum ayahanda membesarkan kami dalam semangat pengorbanannya yang sangat tinggi, bersama UMNO untuk mengisi kemerdekaan dan semangat cintakan bangsa. Rumah kami menyaksikan siri-siri mesyuarat mereka.
Uniknya, almarhum ayahanda tidak terlibat “enjoy” dengan golongan moderate Melayu masa itu. Pernah beliau ditawarkan untuk menjadi wakil rakyat oleh almarhum Tun Sardon Jubir; syukur beliau menolak, kerana bukan itu yang dikejarnya.
Semangat Melayu tertanam dijiwa penulis. Semangat berjihad yang tertanam dari amalan wirid Panglima Salleh masih panas dalam darah penulis. Panglima Salleh telah bangkit membunuh ramai komunis di Batu Pahat khususnya. Sejarah membuktikan mereka telah memulakan dulu suasana ketegangan itu, walaupun mereka mendakwa sebenarnya mereka menentang tali barut Jepun mahupun British.
Keberanian dan keberkatan zikir ayat 4, membawa beliau memimpin kumpulan “tentera parang panjang” atau “selimpang merah”. Kejayaan itu mendapat perhatian Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar. Baginda bertitah pada 26 Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.
Penulis melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang pada 1980-1983. Penulis bertemu dengan seorang murabbi yang berjaya menanam fikrah yang jelas dalam kehidupan penulis. Dr Ustaz Zawawi Ali dan para asatizah lain memainkan peranan sangat penting ketika itu. Penulis sempat membesar pada zaman sebelum dan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Kebingungan, namun pada waktu yang sama kepulangan Tuan Guru Haji Hadi dengan ceramah-ceramahnya, banyak mengimbangkan fikrah penulis.
Mengekalkan semangat cintakan bangsa, semangat berjihad yang terbit dari perjuangan Panglima Salleh, diadun dengan fikrah yang jelas, penulis terus mengejar erti kematangan. Kaedah-kaedah dakwah mula meresap dalam jiwa penulis.


Memahami erti Islam yang bersifat adil, toleransi, anjal, global dan ciri-cirinya yang lain, penulis meletakkan satu kefahaman yang jelas dalam perjuangan ini.
• Bumi Tanah Melayu termasuk sebahagian besar Nusantara adalah bumi yang pernah diperintah oleh Islam. Sistem berajanya, tidak boleh dinafikan telah melaksanakan konsep akidah, akhlak, dakwah dan jihad. Pelaksanaan hukum tertinggi - melalui proses yang panjang - mengizinkan pemerintahan beraja melaksanakan hukum hudud.
• Berlaku pemulihan unsur Hindu-Buddha yang terdapat dalam adat-istiadat di istana. Namun dengan penggabungan dua unsur; raja-raja melayu terdahulu memilih untuk memeluk agama Islam dan berkahwin dengan keturunan Ahli Bait (keturunan yang dinasabkan kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, Sheikh Abdul Qadir Jailani dan lainnya) yang datang berdakwah ke Nusantara, telah mengubah segalanya.
• Usaha terancang gerakan Salib dari Eropah untuk mengembangkan sayap dan pengaruhnya ke Nusantara khususnya Tanah Melayu mula berlaku pada kurun yang ke-15. Dengan menggunakan syarikat-syarikat perniagaan dan disokong oleh pasukan tentera, mereka mula bertembung dengan pemerintahan Islam yang ada.
• Penghayatan Islam dan kekuatan kerohanian, membenteng usaha tersebut. Namun apabila golongan bangsawan, pahlawan dan panglima mula disogok dengan kepentingan dunia, ia sedikit sebanyak memecahkan benteng kukuh tersebut.
• Bermula dengan “penjajahan” Portugis, Belanda dan British, ia menukar persepsi ramai bahawa pemerintahan kononnya masih di tangan istana; sedangkan keputusan dan pengarahan diterbit dari bangsa asing itu.
• Ada yang cuba mempertahankan dengan mengatakan benar Portugis menjajah; semangat dan seruan jihad mengundang mujahidin Islam dari kepulauan Jawa, Bugis, Banjar, Acheh, Riau dan Siak serta lainnya. Tetapi selepas terserah ke British, kononnya mereka “tidak menjajah”.
• Pada zaman British, ternyata campur tangan Yahudi sangat jelas. Dulu ia tersembunyi. Kini kita berjaya buktikan. Mustahil ia satu kebetulan atau tidak dirancang. Kemunculan Israel Raya (negara haram) itu bukti mereka ingin menguasai dunia.
• British dengan sengaja membawa seberapa ramai penduduk Cina dan India ke Asia Tenggara. Berilah apa alasan; sama ada sebagai buruh keretapi atau ladang, sebagai tenaga kerja untuk membuka bandar dan menghidupkan perniagaan atau perlombongan. Mereka berjaya memasang bom jangka panjang pada masa itu untuk menghidupkan suasana gawat pada hari mendatang.
• Kebangkitan Jepun menukar wajah Tanah Melayu. British cuba melawankan musuhnya dengan musuhnya yang lain. Kebangkitan Bintang Tiga komunis dibawah pimpinan Mao Tze Tong terus mara. Pintu tanah Melayu terbuka dengan kebanjiran masyarakat Cina.
• Jepun menghalau British. Jepun mengejar dan menghukum komunis. Orang Melayu kebingungan. Saki-baki anti penjajah British masih ada, sebahagian yang lain cuba berkenalan sejauh mana baik dan manfaatnya Jepun. Sekumpulan yang lain pula menumpang semangat anti-British dan anti-Jepun (pada zaman yang berbeza) dengan menyertai Bintang Tiga itu. Alasan takhaluf (penjanjian) dan seumpamanya cuba direalisasikan.
• British membekalkansenjata kepada komunis untuk melawan Jepun. British membawa sebanyak mungkin emas, timah dan kekayaan tanah Melayu keluar melalui Pelabuhan Klang, Pulau Pinang dan Singapura. Bergerabak-gerabak diangkut melalui keretapi ke pelabuhan tersebut.
• Maka Allah utuskan kebangkitan jihad ketika itu. Peranan ulama dan solihin di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak dinafikan. Di Johor, Panglima Salleh bangkit dengan zikirnya; untuk menyambut perginya British dan peluang untuk membunuh komunis. Ribuan Cina komunis mati dan terjun ke Sungai Batu Pahat menghala ke Senggarang.
• Tanyalah apa peranan almarhum Dato Onn bin Jaafar. Beliau mengejar British ke Singapura, meyakinkan kepada mereka, komunis akan tewas. Tanyalah apa nasihat beliau kepada Panglima Salleh. Panglima Salleh seorang mujahid. Berjaya menggabungkan ilmu kekuatan kerohanian (tasauf) dan ilmu jihad. Cuma barangkali beliau bukan ahli siasah. Peluang keemasan itu terlepas kerana ilmu politik Islam pada zaman itu tertimbus, selepas Tanah Melayu dijajah bertahun-tahun sebelum itu. Dato Onn berjaya memujuk Panglima Salleh memberhentkan jihad dan memberikan kepercayaan kepada beliau mengurus negara.
• Bom jangka panjang yang disebut oleh penulis tadi; di sinilah perbincangannya bermula. British kononnya pergi, selepas menyerahkan kembali Tanah Melayu yang telah berubah wajah itu. Kemerdekaan namanya. Penghayatan anak cucu Raja-Raja Melayu berketurunan arab itu sudah tidak seperti nenda-nenda mereka yang beramal dengan syariat dan berjiwa kerohian tinggi. Suasana istana sebagai simbol Islam sejati sudah tidak sama.
• British memberi peluang masyarakat Cina untuk maju dan menguasai perniaggan sedangkan masyarat Melayu leka diulik dengan ketuanan yang semakin terhakis. Penjajah tentunya tahu, ketuanan tidak bermakna, tanpa kekuatan ekonomi, pendidikan, sosial, kesedaran pegangan agama dan seumpamanya.
• Kaum India majoritinya, dibiarkan di penjuru “estate” dan hidup dengan todi dan terus mundur. Tentunya satu masa nanti mereka akan bangkit untuk menagih ketidakadilan yang ditinggalkan penjajah terancang itu. Ya! di belakang penjajah itu Yahudi yang suka melihat huru-hara di bumi Allah ini.
• Kontrak sosial yang diterima pakai memperkukuh bom jangka panjang yang dirancang itu. Seolah-olah tiada pilihan lain. Apakah masa itu orang Melayu berfikir atau mampu untuk hantar semula masyarakat Cina pulang ke Tanah Besar atau mengirim kaum India pulang ke tanah air asal mereka. Tentunya tidak!
• “Terlepasnya Singapura”, menyebabkan ramai pimpinan Melayu tidak setuju, tapi UMNO tiada pilihan lain, taat kepada Presiden yang juga merupakan Perdana Menteri (PM) pada masa itu.
• Usaha untuk menampal keadaan, selepas peristiwa berdarah 13 Mei (sama ada dirancang atau berlaku secara tidak sengaja itu), hanya mampu untuk menangguhkan bom jangka panjang dari meledak. Dasar Ekonomi Baru dengan dua “rukunnya”, Membasmi Kemiskinan dan Menyusun Semula Masyarakat dilihat kaku. Memang ada sedikit sumbangannya pada wajah Malaysia hari ini, tetapi ramai mengakui ia tidak menepati sasaran, tetapi menafikan ia tidak gagal pula.
• Tanpa mengatakan DEB itu baik atau buruk; penulis menegaskan, masyarakat Melayu yang telah dimanjakan dengan suasana berselindung di bawah DEB, menjadi tidak prodaktif dan tiada daya tahan lasak. Sebahagian kecil yang berjaya, tetapi keseluruhannya tidak mendidik orang Melayu Bumiputra. Gagal menyusun semula masyarakat dan kemiskinan masih ada berkembang dengan perkembangan semasa. Membandingkan kemiskinan dulu dan kemiskinan kini samalah seperti membandingkan epal dan limau. Pokoknya kemiskinan masih menjalar dalam masyarakat.
• Suasana rasuah, pecah amanah, musnahnya matlamat subsidi yang asalnya baik dan bagus, boros dalam berbelanja dan faktor lainnya, membantu kegagalan DEB.
• Tiba-tiba sampai tempoh dan pencapaian masih ternafi, DEB tidak disambung. Melayu kebingungan. Penulis tidak meminta DEB disambung. Tetapi bagaikan brek kereta ditarik mengejut, tercampaklah para penumpang. PM ketika itu, yang tidak menyambung DEB, punya “taring” dan “kuku” yang mampu menakutkan teman-teman dari masyarakat Cina dan India.
• Zaman PM selepasnya, menyaksikan getaran ledakan bom jangka panjang itu mula ketara. Tanpa DEB dan tanpa PM yang “bertaring” dan “berkuku” masyarakat Cina dan India khususnya, bangkit menagih apa yang mereka rasa patut tagih.
• Sebelum ini, mereka membina kekuatan apa yang patut mereka bina. Mereka terus menguasai ekonomi dengan pelbagai formula seperti Ali Baba. Peluang rasuah untuk memiliki tanah rezab Melayu. Menguasai pendidikan, menguasai perundangan dan lain-lain adalah contoh mereka untuk membela diri setelah sekian lama ternafi. Bom jangka panjang semakin meledak.
• Keputusan PRU sejak 1999, 2004 dan 2008 khususnya, merupakan era perpecahan sesama Melayu yang ketara. Terkeluarnya PAS dari Kerajaan Pakatan akhir 70-an sebelum itu, membina jurang yang sedia ada. Masyarakat Cina dan India merasakan inilah peluang untuk mereka menagih dan menagih apa-apa yang mereka rasakan perlu ditagih. Mereka boleh sahaja menagih daripada parti pemerintah di pusat, mahupun dari mana-mana kerajaan negeri yang ada.


Apakah kita akan membiarkan masyarakat Melayu bagaikan retak bertemu belah? Atau kita akan menjadi golongan yang kononnya ingin menyelamatkan Melayu dan berselindung atas nama Islam; pada waktu yang sama menjadi pemangkin bom jangka panjang yang dipasang oleh penjajah itu.
Seperti biasa, masyarakat Melayu, apabila berbeza pandangan, mereka akan berbeza sehingga seperti bermusuh. Sikap ini mesti dibuang kerana ia melambangkan hilangnya hikmah dan hilangnya matang dari masyarakat bangsa itu.
Masyarakat Cina, walau berbeza fahaman politik, dari aliran dan dialek berbeza, “kelab-kelab” berbeza; mereka pandai bersatu dalam kepentingan pendidikan anak bangsa mereka. Mereka pandai bersatu dalam kepentingan ekonomi bangsa mereka. Kita warga Malaysia boleh belajar daripada mereka.
Nampaknya untuk memastikan ledakan bom jangka panjang yang dipasang oleh penjajah itu tidak menjadi parah dan bertambah berlipat kali ganda, satu alternatif perlu dicari. Bukan sekadar untuk menenteramkan perasaan dan helah bela diri, penulis yakin Islamlah penyelesaiannya.
"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Al-Anfal: 63)
Keimanan kita kepada Allah dan janji-janjiNya, serta usaha matang dari kitalah yang akan merubah alam ini. Merubah hati sesama yang mengaku beriman dan mencampakkan kasih sayang.
Mengajak ummat Islam kembali kepada ajaran Islam satu kerja asas yang tidak boleh ditinggalkan oleh kita semua. Pada waktu yang sama, membuktikan Islam dan nilai-nilainya yang sejagat, adil, saksama, toleransi, sedia berkongsi, memberi ruang, kasih sayang dan ribuan keindahannya yang lain, tidak boleh dinafikan.
Jalan pintas hanya memikirkan kita sahaja dan ketuanan kita, adalah satu kesilapan besar. Keberanian kita mengajak mereka kepada Allah lebih mulia dari kesempitan kita hanya mengajak kepada kesatuan Melayu yang sangat terbatas.
Kita tidak dikira bersyubahat menggadai bumi ini kepada selain kita. Selepas memahamai sejarah silam kita, kita bangkit untuk meyusun berdasarkan “hear and now”. Keindahan Islam adalah pengganti kemelut yang ada.
Semua pihak tidak mahu isu perbezaan kaum di Malaysia diakhiri dengan tumpah darah. Semua akan rugi dan akan rugi. Menawarkan Islam dan pakejnya yang indah adalah satu penyelesaian. Contoh-contoh baik yang ditunjukkan oleh pemerintah bebrapa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat itu sendiri adalah langkah permulaan yang baik.
NGO-NGO Islam yang semakin rancak menawarkan plan penyelesaian berperingkat adalah satu yang dinantikan. Penerangan-penerangandan usaha taqrib; merapatkan, dengan menganjurkan majlis-majlis dailog dan penerangan, penerbitan buku dan segala bentuk penjelasan-penjelasan sangat dialu-alukan.
Memastikan rasuah dibenteras, pecah amanah dikikis, salah guna kuasa dan sebarang bentuk penyelewengan mesti diperangi bersama. Ketegasan ini akan menyuburkan pintu hidayah buat mereka yang mula mencari alternatif dari Islam itu sendiri.
Mengembalikan peranan istana dan ketaqwaan penghuninya perlu ditingkatkan. Peranan nenda-nenda mereka perlu dikembalikan, jika tidak semua akan mengatakan kewujudan mereka sudah tidak relevan.
Penulis menentang keras usaha menafikan peranan Institusi Istana dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Memang kehilangan contoh baik dari mereka akan memburukkan keadaan. Maka dakwah kepada mereka juga menjadi agenda penting buat ummah.
Pada waktu yang sama, jangan ada NGO Melayu yang mengeruhkan keadaan dengan mengajak menaikkan semangat perkauman yang bakal menakutkan mereka kepada Islam.
Ketegasan mempertahankan akidah perlu diteruskan, tetapi menakutkan mereka adalah satu tindakan yang silap. Jagalah halaman rumah Islam itu sebaiknya kerana kita akan mengundang mereka ke halaman kita ini.
Penulis yakin Allah tidak akan membiarkan bumi ini terlepas dari tangan hamba-hamba-Nya selagi hamba-hamba-Nya berusaha untuk mengajak semua kembali kepada-Nya.
(Prof Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus adalah Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia.)

http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/34-hasanuddin-mohd-yunus/1493-malaysia-semakin-gagah-di-bawah-panji-panji-islam