Tuesday, 14 August 2012

Ikram hargai usaha Selangor tangani isu pendidikan


IKRAM hargai usaha Selangor tangani isu pendidikan


SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta jabatan dan agensi-agensi di bawah mereka, dalam menangani dan mengurus pendidikan serta pembelajaran di negeri ini.

“Usaha baik dan kesediaan membaiki mutu perkhidmatan pelajaran dan pendidikan di peringkat Kebangsaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, kedua-dua Menteri Pelajaran dan Menteri Pengajian Tinggi serta jabatan dan agensi-agensi di bawah mereka sangat dihargai,” ujar Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Negeri Selangor Profesor Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus.
Beliau berkata, bagi Pertubuhan Ikram Selangor, perbahasan terhadap cadangan pendidikan tinggi percuma di Malaysia adalah amat menarik.
“Kajian dan penyelidikan teliti dan menyeluruh terhadapnya perlu disempurnakan oleh pihak berwajib untuk mencapai rumusan yang lebih menyakinkan dan perlu mengambil kira pandangan pakar-pakar bidang pendidikan, ekonomi, politik serta penggerak ratusan institusi dan NGO pendidikan berkaitan,” terangnya.
Pertubuhan Ikram Negeri Selangor ternyata agak terkejut dengan pengumuman awal Menteri Pengajian Tinggi untuk membekukan pinjaman pelajaran PTPTN kepada pelajar UNISEL yang mana sehari kemudiannya, pembekuan tersebut ditarik balik.
“Pengumuman-pengumuman seperti ini tidak menggambarkan amalan terbaik atau “best practice” yang membanggakan, kerana ia melibatkan kepentingan rakyat khususnya ibu bapa dan para pelajar serta tidak menggambarkan kematangan politik pemerintah,” demikian menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, katanya, cadangan melaksanakan pendidikan tinggi secara percuma pula tidaklah semudah seperti apa yang dicakapkan yang mana hakikatnya, kerajaan Selangor terpaksa membuat pinjaman lain untuk menampung kos pelajaran tinggi di UNISEL.
ustaz hasanuddin“Walaupun begitu, Ikram Selangor mengucapkan tahniah atas semangat yang tinggi untuk memastikan kelangsungan pendidikan tinggi, sama ada oleh Kerajaan Negeri Selangor yang mencari jalan alternatif atau menteri yang menarik balik keputusannya.”
Sehubungan itu, penghargaan yang sama harus diberi kepada pelbagai agensi kementerian seperti PTPTN yang membantu pelajar dengan pinjaman pelajaran bagi meringankan beban ibu bapa, sambil isu siapa patut membiayai pengajian tinggi terus didebatkan.
“Berdebat di televisyen demi mencari kaedah terbaik, adil dan menyeluruh bagi mencari penyelesaian kepada masalah rakyat adalah lebih baik daripada berbahas perihal skandal mana-mana ahli politik,” jelasnya
Hasanuddin berkata, Ikram Selangor melihat keputusan untuk membekukan pinjaman pelajaran kepada mahasiswa UNISEL baru-baru ini, dapat diambil  pengajaran.
“Keputusan tersebut amat kurang bijak kerana ia mencetuskan keresahan rakyat serta mencemarkan pendidikan dengan politik. Pendidikan tidak boleh dicemari kerana ia adalah masa depan anak-anak kita. Padanya mengandungi makna kehidupan.”
Ikram Selangor sebagai pertubuhan dakwah, kebajikan serta tarbiah ingin mengingatkan dengan kata-kata Saiyidina Umar al-Khattab radiallahuanhu:
Ajarkan anak-anakmu agar mereka dapat menjalani kehidupan pada zaman mereka.
“Pemimpin seperi Saiyidina Umar al-Khattab mahukan kita sentiasa mendidik anak-anak kita dengan penuh bertanggungjawab kerana anak-anak adalah amanah buat ibu bapa, penjaga, pemerintah dan bukan pemerintah manakala mendidik bukan sekadar untuk memberi sijil, kemahiran dan kerjaya tetapi pendidikan yang membawa mereka kepada kehidupan yang cemerlang pada zaman mereka,” jelasnya.
Hasanuddin turut mengingatkan, menjelang pilihana raya umum ke-13 ini, Ikram Selangor berharap agar sebarang perbezaan dalam memberi pandangan politik dapat dikawal dan diurus dengan baik dan matang.
“Semua ucapan dan tindakan pemimpin parti politik tidak boleh dilandaskan pada kebencian dan sentimen,” katanya.
Sebaliknya, beliau menyeru agar pemimpin membina masyarakat dengan menunjukkan contoh dan akhlak terbaik kepada generasi anak-anak sebagaimana pesanan Khalifah Umar tersebut, iaitu teladan yang menguntungkan masyarakat, agama dan negara.

No comments:

Post a Comment