Tuesday, 14 August 2012

Malaysia bumi subur untuk kebangkitan Islam

Malaysia bumi subur untuk kebangkitan Islam



Adakah kita semua berasa beruntung? Saya mulakan catatan saya ini dengan soalan yang sangat mudah. Tanpa soalan ini, kadang-kadang kita terlupa nikmat Allah subhanahu wataala yang sedang dikurniakan kepada kita.
Walaupun sentiasa mengikuti perkembangan dunia, isu semasa dan cabaran-cabaran terkini, penulis sendiri kadang-kadang terlupa untuk bertanya kepada diri sendiri soalan mudah ini.
Soalan mudah ini tercetus, apabila penulis berpeluang menjadi pengiring kepada dua tetamu agung Pertubuhan IKRAM Malaysia. Dua tetamu tersebut, tidak lain dan tidak bukan dua Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin.
Kedatangan Syeikh Dr Jumaah Amin dan Syeikh Dr Mahmud Izzat Ibrahim benar-benar memberi satu kesedaran baru. Sebenarnya generasi kita terpilih untuk menyaksikan satu kebangkitan besar yang disulami dengan kemanisan dan keindahan.
Setiap inci arus perubahan dunia dan perkembangannya sedang menuju dan menumpu kepada kegemilangan Islam. Kejatuhan rejim diktator di Tunisia, Mesir, Libya dan entah negara Arab mana selepas ini, adalah tanda aras yang sangat jelas.
Lebih 60 tahun lalu, al-Marhum asy-Syahid Imam Hasan al-Banna menyeru kepada satu dakwah yang sangat jelas, kini buahnya kelihatan seperti mula berhasil. Beliau mengajak kepada satu kefahaman terhadap Islam yang pada masa itu telah menjadi kabur dan sangat mengelirukan.
Perhatikan sahaja ketika beliau mula mencetak petugas-petugas dakwah mulia ini, beliau menulis sesuatu yang sangat tinggi nilainya dalam Risalah Ta’alim. Saya sendiri tersentak apabila mula membacanya tahun 1980. Ketika menerangkan rukun bai’ah pertamanya; al-fahmu:
“Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.”
Ketika manusia merasakan Islam sekadar satu agama peribadi dan terpencil peranannya, guru itu bangkit membawa pembaharuan. Memang ada yang mempertikaikan, tetapi akhirnya semua kembali bersatu untuk memahami ketepatannya dengan apa yang dibawa oleh baginda sallallahu alaihi wasallam.
Allah subhanahu wataala membuka hijab guru itu untuk memahami dan bangkit menerangkan kepada penduduk dunia tentang apa sebenarnya Islam.
Penjelasan fikrah yang dibawa guru mulia ini, tersebar luas ke seluruh pelusuk alam. Di Malaysia sendiri, kebanyakan gerakan Islam yang berlandaskan kepada ilmu menerima fakta ini. Gerakan-gerakan Islam sentiasa memetik kata-kata Imam al-Banna dan murid-muridnya dalam ceramah, usrah, tamrin dan perjuangan mereka.
Pegawai-pegawai kerajaan, pensyarah universiti, guru sekolah, ahli politik, pengacara TV dan NGO-NGO yang berlatar belakangkan Islam juga sentiasa bermain dengan istilah Islam itu syumul, adil, anjal dan pelbagai istilah haraki yang lain.

Soalan adakah kita semua berasa beruntung dengan suasana ini, hampir penulis terlupa. Pemahaman Tauhid Uluhiyah, Rububiyah dan Asma’ Wa Sifat menjelma dalam buku-buku teks di sekolah-sekolah. Mata pelajaran Tasawwur Islam sudah lama diperkenalkan. Di universiti kita diperkenalkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam.
Penulis terkejut apabila kedua-dua Naib Mursyid Ikhwan Muslimin itu mengulangi di beberapa tempat, dalam siri ceramah atau sidang media mereka, erti tamadun.
Katanya: “Aku melihat kesungguhan ramai umat Islam di Malaysia, menerima Islam yang syumul, selengkap akidahnya, akhlaknya, kerohaniannya, sistem ekonomi, sosial dan perundangannya sebagai Ad-Deen dan manhaj hidup mereka. Mereka berusaha untuk itu dengan bersungguh-sungguh. Menyebarkan fikrah mulia ini.”
Saya merasakan, itu satu penilaian yang sangat tepat dan menyangka kefahamannya terhenti di situ. Saya benar-benar terkejut walaupun itulah yang saya fahami selama ini, apabila Syeikh Dr Mahmud Izzat Ibrahim menyambung lagi, katanya:
“Apa yang mereka fahami dan terima sebagai Ad-Deen itu, mereka kongsikan dengan bukan Islam. Mereka berusaha agar kehebatan Islam dalam mengurus dan membawa konsep-konsep indah Islam dalam isu ekonomi, sosial, perundangan dijadikan tamadun yang diterima dan akan dikongsikan dengan bukan Islam.”
Tambah beliau lagi:
“Sebahagian ad-Deen yang orang Islam anuti, menjadi tamadun yang layak diterima pakai oleh bukan Islam. Malaysia subur dengan prinsip ini. Sangat berpotensi untuk itu.”
Rakyat Malaysia diharap dapat mengisi kekosongan kebangkitan ekonomi Timur yang dipelopori negara China dan bangsa Cina merata dunia dengan nilai Islam. Biarlah kebagkitan tamadun selepas ini terjulang bersama dengan Islam itu sendiri. Kita akan namakannya kebangkitan Islam, mereka akan menamakan tamadun yang dikongsikan.
Ketika itu, setelah kita sama-sama bekerja, nilai keadilan, kebebasan, kemanusiaan dan nilai Islam lainnya akan meresap dan mengiri tamadun baru ini, selepas dunia dicengkam dengan kezaliman diktator, penipuan ekonomi, kebejatan perundangan.
Usaha bersungguh-sungguh NGO-NGO di Malaysia khususnya Pertubuhan IKRAM Malaysia adalah antara bukti yang beliau saksikan katanya. Terbinanya Hospital Pakar An-Nur dan rangkaian sekolah Musleh adalah dua contoh besar.
Dalam tulisan lain Imam al-Banna yang bertajuk "Adakah Kita Orang Yang Bekerja?":
“Ramai dalam kalangan saudara kita yang merasakan jemaah yang aktif ialah jemaah yang melaksanakan program-program umum dan bermanfaat. Program-program yang memberikan kesan yang kekal dalam bentuk institusi-institusi yang berfaedah. Kita akan bincangkan perkara ini dan kita akan nilai pertubuhan Ikhwan Al-Muslimin menurut rencana ini. Namun dengan izin Allah kita juga akan bincangkan neraca lain yang kita gunakan untuk menilai jemaah kita. Kita gunakan neraca ini untuk menilai usaha-usaha yang praktikal. Dari aspek tamadun manusia, neraca yang kita gunakan ini sebenarnya lebih betul dan lebih tepat berbanding neraca yang diguna pakai hari ini. Namun Allah tetap menjanjikan ganjaran yang baik untuk setiap amalan.”
Saya percaya dengan kerjasama gerakan-gerakan Islam dan NGO-NGO yang ada, Pertubuhan IKRAM Malaysia mampu memastikan Islam dapat mengambil tempatnya yang terulung di samping memenangi hati bukan Islam. Kebangkitan naga ekonomi Timur seperti China tidak wajar dibiarkan kosong atau lebih buruk bakal memusuhi Islam.
Kita diharap menjadi ejen atau duta Islam yang akan membuktikan kepada mereka, Islam yang kita anuti adalah satu tamdun buat mereka.
Itulah maksud saya, kita semua kena bersyukur berada dalam zaman pendakian semula selepas Islam terhina dan dicampak ke gaung yang terendah. Kita bukan menyaksikan kebangkitannya melalui tulisan-tulisan, tetapi kita adalah sebahagian daripada pekerja kebangkitan ini.
Jihad dan kesungguhan kita dalam dakwah, tarbiah, ekonomi, pendidikan, sosial dan memperkukuh sistem perundangan adalah satu yang sangat penting.
Inilah sedikit harga yang akan kita bayar untuk membeli syurga Allah yang sangat mahal. Walau kita merasa tidak layak kerana harga yang Allah tetapkan itu terlalu murah, tapi rebutlah harga itu untuk kita mendapat pengampunan, dimasukkan ke syurga, tempat tinggal yang indah di syurga yang tertinggi termasuk pertolongan dan nusrah (bantuan) yang semakin dekat.
(Prof Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus adalah Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia.)
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/34-hasanuddin-mohd-yunus/1485-malaysia-bumi-subur-untuk-kebangkitan-islam

No comments:

Post a Comment